Rabu, 11 Jun 2014

PEMAKANAN BETUL ATASI MASALAH MUNTAH

PEMAKANAN BETUL ATASI MASALAH MUNTAH

Muntah adalah proses aktif, membabitkan pengecutan otot perut yang membolehkan kandungan di dalamnya dikeluarkan melalui perut. Proses ini berlainan daripada masalah regurgitasi di mana ia adalah proses tidak aktif yang menyebabkan sebahagian kecil daripada pemakanan bayi dikeluarkan. Proses ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang kurang daripada setahun.

Cara Kurangkan Masalah Muntah

Kelazimannya muntah disebabkan oleh infeksi virus yang membabitkan usus atau makanan yang kurang serasi dengan kanak-kanak terbabit. Selalunya, kanak-kanak yang muntah disebabkan oleh virus akan juga mengalami masalah cirit. Jika kanak-kanak muntah melebihi 24 jam tanpa cirit, dia mungkin mengalami masalah yang lebih sukar. Berapa lamakah masalah muntah ini wujud? Selalunya, ia akan berkurangan selepas enam hingga 24 jam. Pertukaran dari segi pemakanan boleh mengurangkan masalah muntah dan dehidrasi. Jika kanak-kanak juga mengalami masalah cirit ia boleh berlanjutan untuk beberapa hari.

Berikan kanak-kanak air dalam kuantiti yang kecil selama kira-kira lapan jam selepas muntah yang terakhir, bagi kanak-kanak yang kurang daripada setahun gunakan garam rehidrat. Pastikan air diberi menggunakan sudu. Jika tiada garam rehidrat gunakan susu yang diberi dengan kadar kecil.

Mulakan dengan kira-kira satu sudu teh atau sudu makan bergantung kepada umur anak anda. Berikan lebih kurang setiap lima minit, selepas lebih empat jam tambahkan kuantiti minuman anak anda. Jika masalah muntah terus berlaku, berhenti seketika selama kira-kira satu jam dan mulakan dengan kuantiti yang lebih rendah.

Setelah lebih kurang lapan jam tanpa muntah, anak anda bolehlah memulakan diet seperti biasa. Bagi kanak-kanak yang kecil mulakan dengan makanan seperti bubur dan adalah baik jika kuantiti pemakanan dikurangkan sedikit. Bagi kanak-kanak yang lebih berumur, bubur boleh juga diberikan selain makanan lain seperti roti, kentang putar, sup dan sebagainya.

Bagi bayi yang menyusu badan pula, apa yang perlu dilakukan ialah memberi penyusuan pada kuantiti yang lebih rendah tetapi kerap. Penyusuan boleh diberikan selama 10 minit setiap satu jam, jika masih lagi muntah kuantiti penyusuan mungkin dikurangkan kepada lima minit setiap setengah jam. Gunakan garam rehidrat kira-kira satu sudu besar setiap 15 minit jika muntah berterusan.

Ubat-Ubatan

Elakkan daripada memberi ubat melalui mulut. Ubat ini mungkin menyebabkan kanak-kanak muntah. Jika demam, penggunaan ubat demam yang diberi melalui sumbatan punggung boleh dilakukan. Jika demam berterusan pastikan anda mendapatkan nasihat doktor.

Cara penjagaan salah yang kita lakukan adalah memberi sebanyak mana air yang diminta oleh kanak kanak terbabit. Ini akan menyebabkan kanak-kanak itu terus muntah. Penggunaan ubat tahan muntah jarang dapat menyelesaikan masalah. Strategi pemakanan yang betul selalunya dapat menyelesaikan masalah muntah terbabit.

Bilakah Sepatutnya Mendapatkan Nasihat Doktor?

-Tanda-tanda kering/dehidrasi
-Darah dalam muntah
-Jika kandungan muntah mengandungi jus hempedu (billous vomiting), biasanya muntah berwarna hijau
-Muntah berterusan diikuti dengan cirit-birit yang terlalu kerap
-Anak anda lemah, tidak bermaya dan kelihatan lesu.

Sumber Maklumat: Berita Minggu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan