Ahad, 12 Julai 2015

Adab dan Pantang Larang Wanita Hamil Dalam Masyarakat Melayu

Assalamualaikum =))


Pernahkah anda ditegur atau dilarang oleh orang-orang tua atau ibubapa terutamanya supaya tidak berbuat sesuatu perkara yang boleh memberi kesan kepada kandungan? 

Pantang larang dalam masyarakat Melayu merupakan kepercayaan yang biasanya berdasarkan budaya warisan serta adat sesuatu kaum/bangsa. Ianya merangkumi bukan sahaja dari segi adab dan tingkahlaku, malah dari segi pemakanan. Mereka percaya, jika sesuatu pantang larang itu dilanggar, maka akan memberi kesan tidak baik kepada individu berkenaan mahupun pada kandungan.

Justeru ketika hamil, ibu hendaklah sentiasa menjaga adab dan tingkahlaku supaya tidak melanggar pantang larang yang dipercayai memberi kesan memudaratkan kepada kandungan. Pengalaman semasa hamil dahulu, tidak dinafikan saya juga tidak dapat elak daripada keadaan ini. Maklumlah, ketika itu tinggal bersama orang tua dan saya sentiasa diingatkan agar sentiasa menjaga tingkahlaku semasa hamil. 

Walaupun adakala dianggap remeh, namun kebanyakannya adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Dan inilah yang bakal diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Adab dan Pantang Larang Wanita Hamil

Pantang #1 Dilarang daripada duduk di muka pintu

Dikhuatiri, bayi kelak mengalami kesulitan (lambat keluar) semasa hendak melahirkan.

Pantang #2 Dilarang memangku besen/bakul kecil atas ribaan (pangkuan paha)

Pernahkah anda memotong bawang atau sayur sambil meletakkan besen/bakul kecil atas ribaan/pangkuan paha? Semasa hamil, dilarang berbuat demikian kerana dikhuatiri bayi akan mengalami "angin pasang" atau burut. (wallahualam)

Pantang #3 Dilarang melilit tuala di leher

Dikhuatirii, tali pusat dalam kandungan turut melilit bayi atau tercerut tali pusat.

Pantang #4 Dilarang menganiaya atau mencerca haiwan mahupun sesama manusia

Dikhuatiri akan memberi kesan (cacat atau kepaingan) kepada kandungan.

Pantang #5 Dilarang melihat gerhana bulan

Dikhuatiri anak akan mendapat tompok hitam di badan.

Pantang #6 Dilarang memaku, memahat, dsb.

Dikhuatiri bayi akan mengalami bibir 'sumbing'.

Pantang #7 Dilarang memasukkan "kapok" ke dalam bantal

Dikhuatiri ibu mengalami kesulitan semasa hendak melahirkan 

Pantang #8 Dilarang makan isi kelapa tua (tombong)

Dikhuatiri uri akan melekat 

Pantang #9 Dilarang memakan makanan yang gatal seperti sayur rebung, dsb.

Dikhuatiri bayi lahir kelak akan lebat bulu roma terutama di mukanya.

Pantang #10 Dilarang memakai kain sarung dari kaki sebaliknya masukkan dari atas kepala ke bawah.

Dikhuatiri bayi dilahirkan songsang.



Walau bagaimanapun, di samping pantang larang dalam budaya masyarakat melayu, aspek dalam agama juga jangan diabaikan. Terdapat panduan dan adab semasa hamil untuk bakal ibu juga suami yang wajib dijaga. Anak merupakan anugerah kurniaan Allah swt dan kita wajib memelihara dan menjaganya dari seawal kandungan lagi. Banyakkanlah melakukan kebaikkan dan ibadah dengan mengerjakan solat serta amalan seperti doa tertentu, membaca Al-Quran, berzikir, dan sebagainya semasa hamil.

InssyaAllah, semoga bayi kita lahir kelak akan menjadi anak yang soleh mahupun solehah. 

Aamiin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan